Perhatikan bagaimana Allah menyebut di dalam surah al-a'raf ayat 96, betapa besarnya ganjaran bagi setiap insan yang beriman dan bertaqwa (tidak hanya sekadar beriman tetapi dibuktikan dengan amal) dengan hadiah 'barakah'. Janji Allah Maha Benar sedang Dia memiliki perbendaharaan Yang Maha Luas.
Dalil nas inilah yang dituturkan oleh Pak Sukiman pada ketika beliau menjawab salah satu pertanyaan daripada salah seorang pemeriksa semasa sidang viva voce. Ternyata jawapan itu terlalu sempurna bagi soalan yang berbunyi begini: apakah ada jaminan jika sekiranya Acheh melaksanakan pembangunan berteraskan Islam, tsunami atau bala lain tidak akan terjadi lagi?
Jika dihayati hujah Pak Sukiman, memang benar, sesiapapun tidak bisa memberi jaminan akan sesuatu kerana ia milik mutlak Allah. Kita hanya dihidangkan dengan dua pilihan, sama ada ke neraka atau syurga, memilih dosa atau pahala, melakukan kejahatan atau kebaikan, menjadi tuhan atau hamba, meraih murka Allah atau kasih sayang Allah. Pendeknya, tidak ada pilihan ketiga.
Andai begitu kedudukannya, pasti kita memilih jalan yang selamat. Jalan yang membawa kepada kedamaian, ketenteraman dan kegembiraan rohani dan jasmani. Apa pun yang terjadi selepas itu, semuanya dalam rahsia Allah. Lebih jelas lagi, apabila datangnya tsunami, ia tidak mengenal sesiapa sama ada yang tua atau muda, beriman atau tidak, kaya atau miskin, baik atau jahat. Jika sudah tersurat kematiannya, pasti ia akan terjadi. Lalu di mana adilnya Allah? Turunkan sahaja bala itu kepada orang yang ingkar. Kenapa pula kami yang beriman ini turut terkena tempias? (Soalan ini turut ditanya oleh pemeriksa yang lain semasa sidang viva voce).
Pak Sukiman dengan tenang dan penuh yakin menjawab begini: Allah itu Maha Adil. Jika dipilih-pilih (bala hanya kepada orang jahat), yang terkorban itu pastinya sudah diketahui datang daripada kelompok yang jahat. Di sinilah Allah menutup aib sesiapa sahaja. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui nasib seseorang. Mereka yang beriman dan bertaqwa pula meskipun turut terkorban, sebenarnya itulah wasilah untuk sampai ke syurga. Dipertemukan dengan Allah di hari yang kekal abadi di perkampungan akhirat. Sebaliknya, mereka yang kufur dan ingkar, pastinya juga wasilah untuk sampai ke neraka.
Segala jawapan yang dilontarkan oleh Pak Sukiman ternyata memukau semua pemeriksa termasuk hadirin. Inilah tanda dan bukti betapa penyerahan yang hakiki kepada Allah, pasti akan hadir bantuan dan pertolongan Allah dari pelbagai arah sehingga saya merasa bilik viva-voce (Mclintock Room) begitu padat, seolah-olah dipenuhi oleh para malaikat.
Allah mendengar rintihan kita dalam satu jamaah, mengiringi Pak Sukiman bermula dari masjid al-khalik (solat hajat berjamaah) hingga ke bilik Mclintock. Akhirnya, Pak Sukiman melalui viva-voce dengan cemerlang. Titisan air mata tatkala berpelukan dengan guru (Profesor Muhammad Syukri Salleh) tanda bukti tautan kasih sayang yang tetap kekal sepanjang hayat.
Pak Sukiman telah lulus PhD dengan pangkat 1 (lulus dengan sedikit pembaikian). Perjuangan Pak Sukiman di USM telah selesai, tetapi perjuangan yang hakiki masih belum selesai. Selepas ini, rakan-rakan ISDEV seterusnya akan melalui suasana yang sama (viva-voce) seperti Pak Sukiman. Salah seorangnya adalah AHMAD AZRIN ADNAN.
InsyaAllah, saya kini sedang bertungkus lumus menyiapkan draf pertama yang dijangka akan diserahkan kepada Profesor Muhammad Syukri Salleh (Penyelia Utama) dan Dr. Zakaria Bahari (Penyelia Bersama) pada bulan Mac untuk semakan pertama. Jika diizinkan Allah, bulan Jun 2010 insyaAllah dapat disempurnakan proses penyerahan tesis kepada Institut Pengajian Siswazah.
NOTA: Saya kini di Bab 5 daripada 7 Bab keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment