Monday, April 20, 2009

Program Ke Medan 4-10 Mei 2009

InsyaAllah andainya diizinkanNya, saya bersama teman-teman dari Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) diketuai oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh (Pengarah ISDEV) akan bertapak di Medan selama seminggu bagi menghadiri pelbagai program akademik dan kerohanian di sana. InsyaAllah pada 8 Mei nanti (Workshop Antarabangsa Wakaf), saya akan membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Wakaf Sebagai Instrumen Pengekalan Hak Milik dan Perluasan Manfaat".

Abstrak kertas kerja ini berbunyi begini:

Tanah wakaf terbiar dan tidak dibangunkan diketahui umum sebagai salah satu isu dominan dalam konteks pembangunan tanah wakaf di Malaysia. Usaha-usaha ke arah pengenalpastian punca-punca yang mengekang keberkesanannya juga telah banyak dilakukan oleh pelbagai pihak. Paling kerap dibincangkan ialah faktor status tanah, lokasi, ciri-ciri fizikal tanah, pendaftaran pemilikan, pangkalan data dan ketiadaan modal untuk memajukannya. Persoalan tentang keterbatasan kaedah dan prosedur mewakafkan tanah bagaimanapun jarang diberi tumpuan. Kertas kerja ini cuba mengetengahkan satu kaedah membangunkan tanah wakaf secara optimum berdasarkan konsep dalaman dan luaran yang dimiliki oleh instrumen wakaf itu sendiri. Oleh kerana cadangan ini berbentuk teoritis, persoalan praktikaliti yang berkaitan dengan hal-hal perundangan, teknikaliti dan sebagainya diketepikan dahulu. Paling penting, kaedah ini tidak hanya mengekalkan hak milik, tetapi juga memperluaskan manfaat tanah wakaf sekaligus mencapai matlamat pengoptimuman.

Hambatan Kelancaran Pengutipan Data Melalui Kaedah Tinjauan

Agak lama blog ini menjadi sepi tanpa tulisan. Bukan kepupusan idea tetapi ruang waktu yang agak terbatas menghambat segala titik temu mencurahkan segala peristiwa dan pengalaman yang telah, sedang dan akan berlaku.

Saya kini sedang menjalani proses pengutipan data dalam kalangan pengguna Muslim yang berurusan dengan bank-bank Islamik di seluruh Terengganu. Sasarannya ialah seramai 500 orang. Data primer ini tidak semudah yang disebut dalam proses mendapatkan data. Sepanjang seminggu menjalani proses ini, ada 3 perkara yang menjadi hambatan kepada kelancarannya.

Pertama, kesediaan pengguna bank untuk menjadi responden. Pernah suatu ketika dahulu saya didekati pembanci yang menghulurkan borang soal selidik, mengharapkan belas ihsan saya untuk menjawab segala persoalan yang dikemukakan. Ada ketika saya begitu pasif dan begitulah sebaliknya. Tetapi kini segalanya berubah. Ungkapan 'if I were in your shoes.....' menjadi motivasi utama untuk memberi sumbangan kepada mana-mana bentuk kajian selagimana mampu. Pada ketika saya pula yang berperanan sebagai seorang penyelidik, perasaan yang samalah bertamu di dalam hati, mengharapkan setiap orang yang didekati bermurah hati menghulurkan sedikit ruang waktu untuk 'bersama' dengan saya berwasilahkan borang soal selidik.

Kedua, kemampuan kewangan dan kesihatan tubuh badan. Ada orang sihat tubuh badan tetapi tiada wang yang cukup untuk menjayakan sesebuah kajian. Ada orang banyak wang tetapi tidak punya kesihatan tubuh badan. Kedua-dua ini tidak membolehkan kita untuk menyempurnakan sesebuah kajian apa lagi yang berbentuk kuantitatif. Apa tidaknya? Kajian berkaedah kuantitatif sangat mementingkan aspek kecukupan data yang lazimnya dikaitkan dengan bilangan responden yang ramai. Semakin ramai responden yang terlibat, semakin tinggilah tahap perbelanjaan kajian.

Ketiga, tahap kejelasan soalan dalam borang soal selidik. Dalam kes saya, sebelum memulakan kajian sebenar, saya telah menjalankan proses kajian rintis (untuk menentukan kesesuaian reka bentuk kajian) dan ujian rintis (untuk menentukan tahap kesesuaian reka bentuk soal selidik termasuklah tahap kejelasan). Untuk proses ujian rintis sahaja, saya melakukannya sebanyak 2 kali yang melibatkan sejumlah 60 orang responden. Tujuan utamanya tidak lain dan tidak bukan, untuk mempastikan kejelasan soalan berada pada tahap maksimum. Setelah melakukan semua proses ini, malangnya masih lagi terdapat sebilangan responden yang tidak begitu faham dengan kehendak salah satu daripada 5 bahagian dalam borang soal selidik saya. Mujurlah tatacara mengutip data melalui borang soal selidik ini berbentuk tinjauan secara bersemuka. Kaedah ini sudah tentu dapat mengatasi segala permasalahan yang timbul yang kerap berlaku dalam kalangan mereka yang tidak berpendidikan tinggi dan warga emas.