Dalam konteks kajian yang berkaitan dengan faktor-faktor pendorong atau penyebab atau penentu kepada berlakunya sesuatu gelagat atau tingkah laku dalam kalangan manusia, ia tidak boleh lepas lari dari mengaitkannya dengan teori-teori motivasi. Salah satu daripada teori motivasi yang masyhur ialah Teori Maslow yang seringkali dirujuk oleh pelbagai pengkaji sejak sekian lama terutamanya dalam kalangan pengkaji yang menggunakan pendekatan deduktif dalam kajian mereka.
Secara umumnya, teori ini menekankan bahawa: kehendak dan keperluan manusia adalah mengikut peringkat keperluan. Manusia bermotivasi untuk berkehendak kepada keperluan peringkat rendah seperti keperluan asas (physiological) dan keselamatan (safety). Pada peringkat ini, ia banyak dipengaruhi oleh faktor luaran dan persekitaran (external factor). Apabila sudah mencapai tahap ini, manusia berkehendak kepada keperluan tahap tinggi (high order) seperti keperluan bersosial (social), keperluan penghormatan (esteem) dan jati diri (self-actualization). Ia lebih didasari oleh faktor dalaman (internal factor). Teori ini turut menyatakan bahawa manusia bermotivasi untuk memperjuangkan keperluan peringkat rendah (asas) sebelum ke peringkat tinggi dalam hieraki keperluan.
Benarkah begitu (manusia bermotivasi untuk memperjuangkan keperluan peringkat rendah sebelum ke peringkat tinggi dalam hieraki keperluan) menurut kaca mata Islam? Teori ini mempamerkan kepada kita betapa manusia harus berikhtiar semaksimum mungkin untuk memenuhi segala keperluan asas seperti makanan, pakaian, rumah dan seks. Seandainya semua ini telah dipenuhi, barulah seseorang itu 'berhijrah' untuk mengisi keperluan tahap tinggi seperti keperluan bersosial (social), keperluan penghormatan (esteem) dan jati diri (self-actualization).
Dalam proses memenuhi segala keperluan asas, teori ini secara jelas menidakkan 'pertimbangan halal, haram dan syubhat'. Usah difikir soal halal dan haram pada makanan dan minuman, paling penting perut terisi. Begitu juga dengan pakaian, tempat perlindungan dan keperluan seks, paling penting ia mampu memuaskan hawa nafsu. Usah difikir soal membantu golongan yang lebih memerlukan (sama ada dalam bentuk wang ringgit atau bantuan keringat) bagi maksud keperluan sosial, jikalau keperluan asas diri sendiri masih belum dipenuhi secara sempurna.
Apakah Islam mendidik kita sebegitu rupa? Apakah makhluk yang bernama manusia ini telah diprogramkan oleh penciptanya untuk bergelagat sebagaimana yang dihujahkan oleh Maslow. Jikalau teori ini benar, di mana letaknya kedudukan Bilal Ibn Rabah yang tidak menghiraukan keselamatannya pada ketika dia disiksa (ditimpa batu di atas dadanya) oleh orang kafir musyrikin. Satu-satunya kalimah yang bermain di bibirnya ialah "'ahad, ahad, ahad". Perhatikan juga kenyataan Ulumcordova yang menyebut: semasa proses pemboikotan ekonomi selama tiga tahun di Mekah, umat Islam dalam riwayat Ibnu Ishak menyatakan hanya daun-daun dan pucuk kayu sebagai makanan. Namun adakah mereka tergugat dengan pendirian mereka? Tidak sama sekali kerana yakin dengan bantuan Allah dan janji Allah dalam surah Al-Hajj ayat 40 iaitu “Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”. Ertinya, kalaupun seseorang Muslim itu mewarisi sebuah kemiskinan (kais pagi makan pagi, kais petang makan petang), dia tetap memperolehi penghargaan diri dan disanjung ramai oleh kerana keperibadian akhlaknya yang tinggi dan sentiasa menghulurkan bantuan keringat di sana sini. Begitu juga dengan seorang Muslim yang dilimpahi nikmat kekayaan, dia tetap dalam kedudukannya sebagai seorang hamba Allah yang penuh dengan kedhaifan, kelemahan dan kekurangan. Dia bersama-sama merasai segala keperitan yang dialami oleh saudaranya yang miskin dengan melatih dirinya untuk berpuasa, beruzlah (meninggalkan segala kesenangan dan kenikmatan hawa nafsu) dan sudah tentu menginfakkan sebahagian hartanya di jalan Allah. Kesemuanya ini mempamerkan bahawa Muslim yang sejati tidak memperjuangkan keperluan peringkat rendah sebelum ke peringkat tinggi dalam hieraki keperluan. Semua keperluan baik di peringkat rendah mahupun di peringkat tinggi dipenuhi sebaik mungkin sesuai menurut kerangka dan acuan Islam yang lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti.
Kesimpulannya, tidak ada cacatnya teori Maslow menurut kaca mata bukan Muslim kerana sudah tersurat di dalam al-Quran bahawasanya Allah menjadikan bumi ini seperti syurga bagi orang-orang kafir. Bagi Muslim pula, teori ini sudah tentu tersasar dari landasan Islam kerana ia bermula dengan premis yang salah dan jelas bertentangan dengan syarak. Dalam konteks motivasi Islam, premisnya harus bermula dengan (1) matlamat akhir ialah mencari keredhaan Allah, (2) segala yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan untuk manfaat di perkampungan akhirat nanti; dan (3) jadilah insan yang paling banyak memberi manfaat kepada insan yang lain.
No comments:
Post a Comment