Wednesday, December 30, 2009

Ayoh Pak Sukiman!

Hari ini dan esok merupakan detik yang cukup penting kepada salah seorang sahabat saya, Sukiman yang akan berhadapan dengan peperiksaan lisan. Hari ini misalnya beliau telah melalui mock viva yang dikendalikan secara simulasi. Biarpun agak sedikit santai (mungkin juga kerana soalan-soalan yang ditanya tidak terfokus kepada hal-hal yang teknikal), setidak-tidaknya ia memberi sedikit gambaran tentang perkara yang akan berlaku semasa sesi viva.

Segala tips daripada Profesor Muhammad Syukri Salleh, Dr. Zaini Abu Bakar dan Dr. Zakaria Bahari perlu dihadami sebaik mungkin agar dapat melalui peperiksaan itu dengan jayanya. Pandangan ketiga-tiga mereka sebenarnya menjurus kepada 8 bentuk soalan yang mungkin ditanya oleh para pemeriksa.

1. Terangkan secara ringkas tesis anda.
2. Apa yang mendorong anda melakukan kajian ini?
3. Nyatakan sumbangan ilmu kepada bidang penelitian sama ada dari sudut teori atau praktis.
4. Setakat manakah dapatan yang diperolehi mengisi jurang yang dikenal pasti?
5. Perincikan kaedah analisis yang digunakan bagi menjawab soalan kajian?
6. Huraikan alat analisis kajian dan unit analisis kajian.
7. Apa justifikasi kaedah pemilihan sampel? pemilihan lokasi penelitian?
8. Adakah setiap persoalan kajian yang diutarakan telah dijawab? di bab mana?

Saya sendiri ada beberapa kemusykilan yang ingin ditanyakan kepada Sukiman, namun saya hanya sempat bertanyakan satu soalan, iaitu kesesuaian penggunaan perkataan 'deskriptif kualitatif' yang menurut saya agak berlawanan dengan sifat analisis kandungan.

Seperkara lagi yang teramat penting tetapi tidak sempat ditanyakan kepada beliau kerana kesuntukan waktu, ialah tentang sumbangan ilmu dari sudut teoretikal. Merujuk kepada tesis beliau, objektif ketiganya ialah mencadangkan kaedah pembangunan berteraskan Islam untuk pembangunan Acheh pasca tsunami. Sebagai audience, tentunya saya mengharapkan ada satu model (grounded theory) atau paling tidak, satu kerangka konsep yang diketengahkan untuk memenuhi objektif ketiga tersebut. Beliau bagaimanapun hanya mencadangkan 7 prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang dibina oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh. Andai begitu kedudukannya, di manakah sumbangan ilmu kepada bidang penelitian dari sudut teoretikal?

Apa pun yang telah, sedang dan akan terjadi, saya bermohon kepada Allah moga-moga beliau dipermudahkanNya melalui peperiksaan ini dengan jayanya. Segala kesempurnaan pastinya milik mutlak Allah.

No comments:

Post a Comment