Tuesday, December 29, 2009

Dari Sarapan Terjelma Pengamatan

3 hari yang lalu, saya berkesempatan untuk bersarapan bersama 3 orang 'lama' dalam dunia pendidikan. Pertama, Profesor XXX yang merupakan Dekan Fakulti XXX di UXX. Kedua, Dr. XXX yang saya kenali sewaktu sama-sama terlibat dalam menjayakan satu konvensyen bertemakan 'Melayu Glokal'. Beliau pernah memimpin beberapa organisasi sama ada yang berorientasikan keuntungan atau sebaliknya. Ketiga, En. XXX yang merupakan Ketua Jabatan XXX di Fakulti XXX, UXX.

Pada mulanya perbualan kami tertumpu kepada subjek Perbandingan Agama. Masing-masing mengutarakan pandangan tentang usaha mengintegrasikan kefahaman tentang Islam dan selain Islam, konsep Islamisasi dan sebagainya. Menurut mereka, satu-satunya IPT yang berjaya melakukannya adalah UIAM, itupun tidaklah di tahap yang ideal.

Perbualan seterusnya lebih menarik. Ia dimulai Dr. XXX dengan mengetengahkan perbandingan antara pemikiran ahli agama klasik vs. ahli agama kontemporari. Dr. XXX nampaknya memandang sinis pemikiran ahli agama klasik yang beliau sifatkan tidak berdaya saing dan tentunya tidak sesuai dalam arus permodenan.

Setelah agak lama berbual tentang hal yang agak 'berat', ketiga-tiganya mula bercakap tentang sukan kegemaran mereka, iaitu 'golf'. Cukup seronok nampaknya mereka berkongsi pengalaman masing-masing. Bermula dari driving range sampailah kepada putting green.

Saya tidak banyak menyumbang kepada perbualan mereka. Sebaliknya saya lebih selesa untuk menjadi pendengar yang baik. Setiap pandangan mereka, saya amati dan perhalusi agar kemudiannya dapat disimpulkan tentang 'gaya, bentuk dan hala tuju pemikiran ketiga-tiga tokoh veteran'. Inilah yang ingin dikongsi dengan para pembaca sekalian.

Ada 3 perkara yang boleh saya rumuskan.

Pertama, saya sebenarnya begitu kecewa dengan pemikiran ketiga-tiganya yang saya kira masih terikat dengan kerangka pemikiran konvensional. Sandaran tasawur dan epistemologi yang kadang-kadang selari, kadang-kadang tidak, jelas mempamerkan tahap istiqamahnya. Islam akhirnya dilihat menerusi perspektif Barat walhal mereka memiliki latar belakang pengajian Islam dan diraih di universiti hebat di dunia.

Kedua, saya teramat kecewa dengan gelagat ketiga-tiganya yang cukup mengagung-agungkan sukan golf. Benarlah, golf bukan semata-mata main golf seperti kata-kata Azizi Abdullah dalam karyanya 'Gaya Hidup Ranggi'. Golf tidak ubah seperti wasilah mengekslusifkan diri sesuai dengan status dan kedudukan mereka di mata masyarakat.

Ketiga, betapa banyaknya orang bercakap tentang agama, tetapi terlalu sedikit bilangannya yang dapat menghayati dan dizahirkan dalam bentuk amalan seharian. Ada orang yang mampu menulis bait-bait lagu yang cukup indah dan puitis, menarik pendengarnya untuk kembali kepada keampunan Allah, tetapi bait-bait yang sama tidak mampu membuatkan dirinya untuk menjadi hamba Allah yang hakiki. Ada orang yang mampu menghayati sebuah lakonan untuk memberi keinsafan kepada manusia di luar sana, tetapi watak yang dimainkannya tidak mampu menginsafkan dirinya untuk tunduk patuh kepada Allah azzawajalla. Sementelahan pula mereka yang berada dalam kemurkaan Allah. Mungkin sahaja tingkah laku mereka lebih baik daripada mereka yang tidak berada dalam kemungkaran Allah, tetapi itu tidak cukup untuk melayakkan dirinya bergembira bersama-sama Rasulullah di perkampungan akhirat kelak.

Ya Allah, maafilah kami di atas segala kelalaian kami. Sesungguhnya kami maha dhaif dan maha memerlukan belas kasihanMu. Ampunilah segala kekhilafan kami.................

No comments:

Post a Comment