Friday, September 16, 2011

Murid Pewaris Perjuangan Guru


Suatu ketika dahulu tatkala bersama dengan Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh di bumi Jeddah, saya melalui pelbagai pengalaman yang cukup berharga untuk setidak-tidaknya mengenali dengan lebih mendalam tentang diri saya sendiri. Daripada pelbagai pengalaman itu, sesi selama 2 minggu di Islamic Research and Training Institute (IRTI) sebagai Penyelidik Pelawat meninggalkan banyak kenangan manis. Antaranya, saya berpeluang membentangkan kertas kerja di hadapan ramai cendiakawan di IRTI termasuk Prof. Bambang (Presiden IRTI pada ketika itu) dan Dr. Umer Chapra (Sarjana Islam tersohor dalam bidang Ekonomi Islam). Ada 2 kerisauan saya sebelum hari pembentangan. Pertama, kelompok hadirin yang jauh lebih tinggi ilmu, kelayakan dan pengalaman akademiknya berbanding saya. Hakikatnya, saya tidak mampu berbahasa Arab, tidak mampu mentafsirkan kalam-kalam Allah, tidak mampu mentakhrijkan hadis, jauh sekali hafiz. Kedua, kesihatan diri saya yang kadangkala tidak di tahap terbaik. Kedua-dua hal ini mampu meruntuhkan tingkat keyakinan diri saya untuk melaksanakan pembentangan dengan jayanya. Andainya saya gagal melaksanakannya, saya tidak hanya menjejaskan reputasi saya sendiri, malahan Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh (Sarjana Pelawat IRTI) dan USM. Lebih jauh dari itu ialah imej Islam kerana audiens saya turut meliputi Sarjana bukan Muslim, iaitu Dr. Shin (Kyoto Universiti) yang juga merupakan Penyelidik Pelawat IRTI.

Bergantunglah dengan Allah! Itulah pesanan ringkas Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh bagi meredakan kerisauan saya. Benar dan sesungguhnya maha benar bahawa tatkala kita menyerahkan seluruh nasib kita kepada Allah setelah berusaha sebaik mungkin, Allah dengan sifatNya Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, tidak akan sekali-kali membiarkan kita dimalukan di hadapan makhlukNya. Apatah lagi bagi pejuang-pejuang Islam.

Alhamdulillah saya berjaya melalui sesi pembentangan itu dengan jayanya. Peristiwa ini sebenarnya turut tercatat dalam blog Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh pada 24 Mei 2010 dengan tajuk 'A THING THAT A REAL TEACHER IS MOST HAPPY WITH'. Itulah hakikat guru yang 'sebenar'. Guru yang sentiasa mendidik muridnya untuk menjadi yang lebih baik daripada dirinya sendiri. Pernah satu ketika saya mengungkapkan kepada guru saya: Saya berharap dapat mengikut jejak langkah Prof dan akhir menjadi seperti Prof. Balas guru saya: Jangan menjadi seperti saya. Tetapi jadilah yang lebih baik daripada saya. Kata-kata inilah yang menjadi perangsang buat saya meneruskan perjuangan guru-guru di ISDEV khususnya guru-guru penyelia saya.

Pada saat ini, saya cuba mengemukakan satu paradigma baharu dalam konteks gelagat pengguna, khususnya gelagat pengguna Islam. Apa yang sedang saya lakukan sekarang ialah penganalisisan tentang ketepatan pengklasifikasian ‘gelagat pengguna Islam’ (GPI) sama ada sebagai satu bidang atau pengkhususan. Sehingga kini, ‘gelagat pengguna’ diklasifikasikan sebagai salah satu pengkhususan kepada bidang 'Pemasaran' (Malaysian Research Development Classification System, Edisi ke-5). Pengklasifikasian ini juga turut dipanjangkan kepada GPI. Melihat kepada evolusi perkembangan ilmu berkaitan gelagat pengguna, lebih-lebih lagi gelagat pengguna yang diteliti menurut perspektif Islam atau mudahnya dikenali sebagai GPI, pengklasifikasian ini perlu dinilai kembali. Sesuai dengan tunjang falsafah GPI yang berbeza dengan pemahaman lazim termasuk tasawur dan epistemologinya, GPI perlu berdiri sendiri sebagai satu bidang. Pada ketika pengklasifikasian sedia ada berlegar dalam konteks 'Pemasaran', manfaat penelitian tentang gelagat pengguna hanya terfokus kepada usaha untuk menambah baik pihak penyedia perkhidmatan atau produk, tidak di pihak pengguna. Tumpuan bagi GPI khususnya seharusnya beralih kepada konteks yang lebih luas - tidak hanya terikat kepada bidang pemasaran - dengan matlamat untuk memahami realiti semasa dan hal yang bersifat ideal menurut kerangka syarak.

Perkara di atas inilah yang akan saya ketengahkan dalam satu persidangan pada November nanti dengan tajuk GELAGAT PENGGUNA ISLAM: SATU BIDANG ATAU PENGKHUSUSAN?

Jika dahulu guru saya memperkenalkan 'Pembangunan Berteraskan Islam' sebagai satu bidang, usaha yang serupa diteruskan oleh saya dengan memperkenalkan 'Gelagat Pengguna Islam' sebagai satu bidang, tidak lagi pengkhususan. Doakan usaha saya ini direstui Allah, moga-moga segala kebaikan dan manfaatnya tersebar ke seluruh pelusuk alam.



No comments:

Post a Comment