Wednesday, December 2, 2009

Kenapa Terengganu?

Kertas bertajuk ”Kepatuhan Syariah Pengguna Bank Islamik: Satu Tinjauan Dalam Kalangan Muslim Di Terengganu” yang dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2 Disember 2009 telah mendapat maklum balas yang positif daripada khalayak ramai. Ini ada kaitan dengan penemuan utama kajian, iaitu aspek pengetahuan dan kesedaran tentang sistem perbankan Islam tidak lagi menjadi permasalahan utama dalam kalangan Muslim. Masalahnya lebih terfokus kepada aspek penghayatan. Usaha sehingga kini diakui banyak tertumpu kepada usaha menambah pengetahuan dan kesedaran, tidak kepada penghayatan. Oleh yang demikian, usaha yang lebih banyak dan holistik harus digerakkan untuk mendorong Muslim “beramal dengan apa yang diketahui”.

Dalam pembentangan kertas itu juga, banyak soalan tertumpu kepada justifikasi kenapa Terengganu dipilih. Kalau dihujahkan Terengganu didominasi oleh Muslim, 3 negeri lain (Kelantan, Kedah dan Perlis) juga begitu. Kalau ditonjolkan bahawa Terengganu terdedah kepada sistem pemerintahan Islam, Kelantan juga begitu dan kini Kedah di bawah pemerintahan Kerajaan PAS. Apa sebenarnya yang unik tentang Terengganu? (itulah yang dibangkitkan oleh ramai peserta).

Soalan ini diasak bertalu-talu oleh para peserta. Malangnya saya tiada di sana untuk menjawab persoalan ini kerana terpaksa pulang ke kampung berikutan kematian bapa saudara. Kertas tersebut telah dibentangkan oleh sahabat saya, Moh Azis Arisudi. Jika saya ada di sana tempohari, saya akan menjawab begini:

Alasan Muslim adalah penduduk majoriti dan pendedahan sistem pemerintahan Islam bukan asas utama saya apabila memilih Terengganu sebagai lokasi penelitian. Ia bertitik tolak daripada 2 fenomena.

Pertama, Terengganu diakui sebagai negeri terawal menerima kedatangan Islam. Buktinya dengan kewujudan Batu Bersurat Terengganu dan diiktiraf sebagai salah satu warisan Malaysia oleh UNESCO. Dari situ sebenarnya bermula sistem pemerintahan berteraskan Islam yang dilihat agak menonjol semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke-3 (era Tok Ku Paloh). Ia diteruskan oleh pemimpin-pemimpin kemudiannya termasuklah Wan Mokhtar (Wawasan Sihat), Hadi Awang (Membangun Bersama Islam) dan Idris Jusoh (Islam Hadhari Terengganu Bestari) meskipun berbeza fahaman politik. Menariknya, satu-satunya negeri yang menyambut Islam Hadhari daripada Kerajaan Pusat (ketika zaman Pak Lah sebagai PM) dan didokumenkan secara rasmi (salah satu bab penting dalam Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu 2004-2008) ialah Terengganu. Ini tidak berlaku kepada 3 negeri lain termasuk Kelantan yang juga mengamalkan sistem pemerintahan berteraskan Islam. Semua ini mempamerkan kepada kita betapa terdedahnya Terengganu kepada sistem pemerintahan berteraskan Islam sejak sekian lamanya sesuai dengan statusnya sebagai negeri pertama menerima kedatangan Islam. Jika begitu, agak menarik sekali untuk diteliti apakah masyarakat di Terengganu yang mendapat pendedahan ketara tentang sistem pemerintahan berteraskan Islam akan mempamerkan gelagat yang ideal. Logiknya, jika negerinya begitu prihatin dengan suasana Islam (papan iklan Nescafe memaparkan Maya Karin sebagai wanita bertudung apabila berada di Terengganu), tentu sekali rakyatnya akan bergelagat seperti yang dituntut oleh Islam. Benarkah?

Kedua, fenomena ini sebenarnya telah dikaji oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Mereka menemui bahawa faktor agama menjadi pendorong utama masyarakat Terengganu apabila memilih bank Islamik, sekaligus membenarkan logik di atas. Oleh kerana kajian tentang penentu pemilihan bank di Malaysia amat terhad, apatah lagi di Terengganu, tentu sekali fenomena ini tidak dapat dijelaskan dengan sebaik mungkin. Sementelahan kajian sekumpulan penyelidik UMT hanya terbatas kepada 100 orang responden di 2 buah bank Islamik di salah sebuah daripada 7 daerah di Terengganu. Walhal terdapat 7 buah institusi utama yang menawarkan kemudahan perbankan Islam atau 14 lokasi penelitian (termasuk cawangan-cawangan semua bank tersebut). Ini tidak termasuk bank-bank perdagangan yang turut menawarkan kemudahan perbankan Islam secara jendela. Melihat kepada realiti ini, generalisasi dapatan pasti sukar dilakukan. Dalam masa yang sama, majoriti kajian seumpama ini menemukan bahawa Muslim memilih bank Islamik kerana gabungan faktor agama dan faktor selain agama. Faktor agama semata-mata tidak mampu mendorong Muslim untuk memilih bank Islamik, sekaligus bertentangan dengan kajian daripada kumpulan penyelidik UMT yang disifatkan sebagai dapatan minoriti. Kajian saya ini mengisi ruang antara keduanya. Membenarkan dapatan majoriti atau dapatan minoriti? Dapatan daripada kedua-dua asas ini secara tidak langsung menjawab persoalan yang pernah dibangkitkan oleh Profesor Muhammad Syukri Salleh (2002:75) di dalam karya beliau bertajuk ”Pembangunan Berteraskan Islam” dengan menyebut begini: "Apakah Muslim apabila berhubungan dengan bank Islamik kerana benar-benar insaf dan takut terhadap seksaan Allah ke atas mereka yang mengambil, memberi, memakan dan mencatat riba atau sekadar mengikut ragam atau aliran yang popular ditambah dengan sedikit rasa keIslaman yang sememangnya sudah menjadi fitrah manusia Islam?". Dengan kata lain, saya menjawab persoalan beliau dengan membuktikan hal ini secara empirikal.

Berdasarkan kedua-dua asas di atas, maka Terengganu dipilih sebagai lokasi penelitian.

No comments:

Post a Comment